Rabu, 3 Januari 2018

Tahun baru 2018 dan apa benda BARU yang menarik?


Selamat tahun baru 2018! 


Artikel ni merupakan catatan saya yang pertama dalam blog ini bagi tahun 2018. Fuh, kejap je masa berlalu. 


Terasa macam baru semalam mendaftar masuk ke darjah satu. Tak sangka, rupa-rupanya dah hampir 23 tahun peristiwa tersebut berlaku. 


Awal-awal tahun baru, macam biasalah... kita akan dihujani dengan macam-macam berita tentang adik-adik kita yang baru nak mula melangkah ke alam persekolahan. 


Saya rasa, berita tentang kaki tersepit dalam mangkuk tandas ni, antara berita yang paling kerap saya baca. 


Sumber berita adalah dari laman sesawang berita harian


Saya yang baca ni pun rasa... macam mana boleh jadi macam ni?
 
Sumber berita - https://www.bharian.com.my/berita/kes/2018/01/370000/15-minit-keluarkan-kaki-dari-lubang-tandas

15 minit keluarkan kaki dari lubang tandas
KENINGAU: Seorang kanak-kanak lelaki terpaksa menahan sakit hampir setengah jam selepas kaki kirinya tersangkut dalam lubang tandas di Sekolah Kebangsaan (SK) Paganatan, hari ini.

Dalam kejadian jam 9.10 pagi itu, kanak-kanak berusia lima tahun itu dikatakan tergelincir ketika membuang air kecil di dalam tandas sekolah berkenaan sebelum kaki kirinya termasuk dalam lubang tandas itu.

Kejadian itu bagaimanapun disedari oleh guru tadika yang terdengar mangsa menangis sebelum mereka menghubungi bomba untuk mendapatkan bantuan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Keningau Mudi Pangiran berkata, sebuah jentera dengan kekuatan seramai lapan anggota dan dibantu oleh kenderaan Perkhidmatan Bantuan Kecemasan Perubatan (EMRS) dikejarkan ke SK Paganatan sebaik menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu.

"Anggota BBP Keningau mengambil masa kira-kira 15 minit untuk mengeluarkan kaki mangsa yang tersangkut dengan menggunakan kaedah sabun sebagai pelincir.

"Mangsa kemudian dirawat oleh pasukan EMRS," katanya ketika dihubungi di sini. 


Apa pun, kalau benda dah nama kemalangan, ia boleh berlaku tak kira tempat dan sesiapa sahaja boleh kenapa. 


Kita yang tak berada di tempat individu yang terkena nasib malang tu, ambil peluang untuk belajar seberapa banyak yang boleh. 


Antaranya mungkin 

1. Kena pastikan tandas sentiasa kering, dan tak ada air bertakung. Bila ada air bertakung kat mana-mana bahagian, akan buatkan lantai jadi licin. 


2. Kadang-kadang dekat bahagian yang bertakung tu, ada sedikit kesan sabun. Jadi lagi licin, so bahaya jugak tu. 


3. Ibu bapa, latihlah anak-anak menggunakan tandas duduk dan juga cangkung. Entah kenapa, saya rasa salah satu sebab kenapa boleh jatuh ni adalah tak biasa guna tandas jenis cangkung. 


Lebih-lebih lagi kalau keluarga yang kat rumah guna tandas jenis duduk. 


4. Nasihat juga dekat anak-anak, lepas dah selesai urusan dalam tandas tu, tak payah nak tergesa-gesa nak lari keluar. Pakai balik seluar dengan tertib, dan tak perlu nak tergopoh gapah. 


5. Kalau anak tu jenis penakut, mintalah seseorang untuk temankan. Bila lama-lama dia dah biasa dekat tempat tu, nanti dah tak mintak teman dah. 


Faktor takut ni pun boleh jadi punca kenapa seseorang tu akan tergesa-gesa nak keluar. 


6. Jangan bergurau dan main dalam tandas. Tandas tu tempat orang nak melepaskan hajat, tak kiralah besar atau kecil. Saya masih ingat lagi, zaman sekolah dulu, memang ada budak-budak bengap yang suka kacau kawan dia bila kawan dia tengah selesaikan urusan dalam tandas. 


Nak membuang pun jadi tak tenang bila berlaku hal-hal macam ni. 


Tol batu tiga dah tak beroperasi

Tinggalkan kejap pasal budak-budak sekolah yang terjatuh dalam tandas. 


Dalam bajet 2018, salah satu komponen yang saya masih ingat lagi adalah pemansuhan tol. Dalam senarai plaza tol yang dinyatakan, salah satu memang saya gunakan walaupun tak kerap. 


Plaza Tol Batu 3. 


Yeay~ dah tak perlu bayar tol. 


Semoga lepas ni, boleh tutup plaza tol yang lain-lain pulak. Pun begitu, saya perasan, dekat lorong touch n go, masih ada lagi pemandu yang berhentikan kenderaan sebab nak tag touch n go dia.



Yang memandu di lorong smart tag pun, ramai yang perlahankan kenderaan. Mungkin masih tak percaya, atau belum betul-betul yakin, yang plaza tol tersebut dah tak dikenakan bayaran. 


Saya ada perasan, memang ada diletakkan kain rentang dan juga bunting yang mengatakan plaza tol tersebut sudah tidak beroperasi, tapi itulah, mungkin lokasinya yang tak berapa strategik, jadi pemandu lain tak perasan pun benda tu. 


Lama-lama nanti, terbiasalah tu. 


Apa pun, saya doakan semoga tahun ini, kita semua akan bertambah rezeki dan dapat jadi seorang insan yang lebih baik berbanding tahun sebelumnya. 
 



 

Tiada ulasan:

Catat Ulasan

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...